Peluru tersangkut pada loket, lelaki terselamat daripada maut

Seorang lelaki Thailand terselamat daripada maut apabila peluru yang dilepaskan ke arahnya tersangkut pada loket yang dipakainya dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di daerah Bang Khen, Bangkok. Foto Facebook Matichon
Seorang lelaki Thailand terselamat daripada maut apabila peluru yang dilepaskan ke arahnya tersangkut pada loket yang dipakainya dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di daerah Bang Khen, Bangkok. Foto Facebook Matichon
A
A
A

BANGKOK – Seorang lelaki Thailand terselamat daripada maut apabila peluru yang dilepaskan ke arahnya tersangkut pada loket yang dipakainya dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di daerah Bang Khen, Bangkok.

Berdasarkan laporan berita Thailand, insiden pada Khamis lalu berlaku ketika mangsa, dikenali sebagai Pornchai, 50, sedang berbincang mengenai urusan hartanah bersama dua individu lain di sebuah restoran di Jalan Phahonyothin sebelum berlaku pertengkaran.

Suspek dikenali sebagai O, 28, dilaporkan tiba-tiba bertindak mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa.

Bagaimanapun, peluru sepatutnya mengenai dada mangsa tersangkut pada seutas loket yang dipakainya, sekali gus mengelakkannya daripada mengalami kecederaan parah.

Menurut jurucakap polis daerah Bang Khen, walaupun peluru berjaya dihalang, mangsa tetap mengalami kecederaan akibat impak tembakan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kesan darah pada meja bernombor 35, dua kelongsong peluru, cermin yang pecah serta loket yang rosak,” katanya.

Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah trak pikap putih namun menyerah diri tidak lama selepas itu.

Kes kini disiasat mengikut kesalahan cubaan membunuh.

Sementara itu, pemilik restoran, Prasit berkata, kejadian tembakan tersebut mencetuskan panik dalam kalangan pelanggan yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

“Ada pelanggan lari tanpa membayar makanan. Kami berharap mereka akan kembali untuk selesaikan bayaran,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran turut menunjukkan bagaimana loket yang dipakai mangsa berjaya menghalang peluru daripada menembusi badannya.

Insiden berkenaan menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan yang percaya bahawa loket tersebut mempunyai nilai simbolik dan perlindungan spiritual.

Sebelum ini, terdapat juga laporan pergaduhan antara dua kumpulan samseng di Bangkok yang dihentikan apabila kedua-dua pihak menyedari mereka memakai loket dari sumber keagamaan yang sama.

Polis menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran yang betul dan tidak bertindak mengikut emosi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!