Dua maut treler terbabas langgar kereta

Seorang pemandu treler dan seorang penumpang kereta maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 12, Jalan Kuantan-Maran di sini pada Sabtu.
Seorang pemandu treler dan seorang penumpang kereta maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 12, Jalan Kuantan-Maran di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu treler dan seorang penumpang kereta maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 12, Jalan Kuantan-Maran di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, penumpang kereta jenis Toyota Vios, Norihan Mustafa, 57, yang beralamat di Kampung Belimbing, Kuantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu treler, M Jayavarman, 24, yang beralamat di Simpang Renggam, Johor, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Menurutnya, pemandu kereta yang juga suami Norihan, Mohd Ridzwan Ab Mubin, 59, dan seorang lagi penumpang, Mohd Zarudin Abdullah, cedera.

“Siasatan awal mendapati, kereta yang dinaiki pasangan suami isteri dan jiran mereka itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Maran, manakala treler tanpa muatan datang dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, treler dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku pelanggaran dengan kereta" katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, Norihan yang berada di kerusi penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler yang dirawat di zon merah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan yang meragut dua nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!