Kerajaan akan pastikan bicara kes Adib dipercepatkan: Zuraida

Zuraida (tengah) menadah tangan ketika bacaan doa pada majlis sambutan ketibaannya di Pejabat KPKT Putrajaya di sini hari ini.
Zuraida (tengah) menadah tangan ketika bacaan doa pada majlis sambutan ketibaannya di Pejabat KPKT Putrajaya di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memastikan kes perbicaraan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dapat dipercepatkan susulan pelantikan Peguam Negara yang baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan proses bagi memulakan sesi perbicaraan kes anggota bomba terbabit di mahkamah sebelum ini memakan masa.

"Ketika itu di bawah Peguam Negara yang lama (Tan Sri Tommy Thomas), dia mengambil masa sedikit untuk memulakan sesi perbicaraan dan kita harap perbicaraan (kes) ini dapat dipercepatkan.

"Peguam Negara (AG) yang baharu sudah dilantik dan kita akan bawa (kes itu) kepada AG yang baharu. Saya belum berjumpa dengan AG yang baharu namun akan berbuat demikian terdekat ini," katanya hari ini.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ketibaan Menteri dan Timbalan Menteri Baharu di Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Adib letak harapan terhadap Peguam Negara baharu

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia setelah tiga minggu bertarung nyawa ekoran kecederaan parah dialaminya akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 November dua tahun lalu.

Anggota bomba terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zuraida menegaskan, beliau akan meneruskan dasar-dasar yang telah digubal oleh KPKT sebelum ini iaitu ketika beliau menyandang jawatan sama sebagai Menteri KPKT.

Menurutnya, dasar-dasar yang baik sebelum ini akan diteruskan dan sudah berada di peringkat pelaksanaan antaranya dasar kebersihan negara, memperkasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kebombaan.

"Dasar perumahan sudah hampir selesai dan ada (juga) beberapa perkara telah saya bincang dahulu untuk dilaksanakan, sudah ada di tempatnya dan kali ini saya akan fokus kepada dasar kebersihan negara.

"Dasar (kebersihan negara) ini saya akan fokus kepada membangunkan kemudahan 'Waste-To-Energy' (WTE) dan juga 'Waste Park' untuk menepati dasar kebersihan negara yang dilancarkan pada tahun lepas.

"Saya juga hendak fokus tentang memperkasakan PBT dan ada beberapa perkara yang harus dilaksanakan dan sudah tentu (dasar) kebombaan juga akan terus dipertingkatkan," katanya kepada media.