IAEA: Tiada peningkatan paras radiasi

Imej satelit menunjukkan kemudahan nuklear Natanz yang menjadi sasaran utama IDF. Foto Agensi
Imej satelit menunjukkan kemudahan nuklear Natanz yang menjadi sasaran utama IDF. Foto Agensi
A
A
A

VIENNA - Badan pemerhati nuklear di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberitahu mereka dimaklumkan oleh pihak berkuasa Iran bahawa tiada peningkatan paras radiasi di kemudahan pengayaan uranium Natanz susulan siri serangan yang dilancarkan Israel.

“Perkara itu disahkan kepada kami selepas pemeriksaan dilakukan Teheran,” kata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menerusi platform X.

Menurutnya, hanya loji kuasa nuklar di bandar selatan Bushehr tidak dibedil di bawah operasi ketenteraan Zionis itu.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, pasukan jet pejuang mereka masih meneruskan kempen pengeboman ke atas kompleks nuklear dan kemudahan tentera Iran.

“Jet kami membedil mana-mana sasaran yang ada kaitan dengan program nuklear Iran,” ujar Brigadier Jeneral, Effie Defrin.

Teheran didakwa meningkatkan program nuklear mereka dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini setelah perjanjian bersama kuasa besar yang bertujuan mengehadkan aktiviti itu mula runtuh pada 2018 berikutan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menarik diri daripada kesepakatan tersebut.

Sehingga pertengahan Mei lalu, jumlah simpanan uranium diperkaya milik Iran dianggarkan mencecah 9,247.6 kilogram (kg) atau lebih 45 kali ganda had ditetapkan perjanjian pada 2015.

Simpanan itu termasuk 408.6kg uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, kurang 30 peratus lagi yang diperlukan untuk menghasilkan kepala peledak nuklear.

Secara teorinya, Teheran mempunyai bahan hampir setara dengan gred senjata dalam kuantiti mencukupi untuk menghasilkan kira-kira 10 bom nuklear.

Artikel Berkaitan:

Tetapi, Iran berulang kali menafikan cita-cita besar mereka untuk membangunkan senjata nuklear seperti didakwa Barat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!