RAILSB kongsi kepakaran perkasa TVET

Murizam (depan, kanan) pada majlis pra-pelancaran Selangor Techsphere Summit 2025 di Bangi.
Murizam (depan, kanan) pada majlis pra-pelancaran Selangor Techsphere Summit 2025 di Bangi.
A
A
A

BANGI - Firma kejuruteraan rel bersepadu RA Integration Links Sdn Bhd (RAILSB) terus mengorak langkah ke hadapan dengan berkongsi kepakaran kejuruteraan serta fasiliti bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam industri rel.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara RAILSB dan Selangor Technical Development Centre (STDC) yang dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan bakat anak-anak muda khususnya di Selangor.

Pengarah Urusan RAILSB, Murizam Musa berkata, MoU tersebut bertujuan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran syarikat dalam bidang rel untuk melatih pelajar tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir di Selangor.

Murizam Musa
Murizam Musa

"Kerjasama ini membolehkan kita menggunakan fasiliti sedia ada di STDC untuk melatih pelajar dalam bidang rel," katanya menerusi sidang akhbar majlis pra-pelancaran Selangor Techsphere Summit 2025 di sini pada Jumaat.

Menurut Murizam, RAILSB yang diterajui jurutera-jurutera berpengalaman lebih 15 tahun turut komited membimbing pelajar secara langsung dengan pendekatan latihan praktikal.

"Kami bukan sekadar berkongsi pengetahuan teknikal tetapi juga budaya kerja yang menepati piawaian keselamatan dan kualiti dalam industri pengangkutan awam," ujarnya.

Beliau berkata, RAILSB kini mempunyai kontrak bersama Rapid Rail melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih tren.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus membuka peluang kerjaya yang luas untuk pelajar-pelajar terlatih.

"Melalui program ini, pelajar berpeluang diserap ke dalam syarikat kami dan seterusnya mengembangkan kerjaya mereka ke projek-projek rel lain seperti MRT dan KTMB," katanya.

Kerjasama strategik ini dijangka melonjakkan keupayaan tenaga kerja tempatan dan menyumbang kepada pembangunan sektor rel negara yang kian pesat membangun.

Sidang kemuncak dua hari ini akan berlangsung pada 11 dan 12 November 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!