RAILSB: Memperjuangkan kepakaran rel tempatan

SHAH ALAM - Pertumbuhan pesat industri rel di Malaysia telah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan sosial baharu di seluruh negara.
Ia bukan sahaja menggambarkan kemajuan fizikal negara tetapi juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam revolusi industri rel untuk membina masa depan yang lebih inklusif, maju dan mampan.
Pelbagai zon pembangunan baharu mula terbentuk termasuk di Klang, Gemas, Pulau Pinang, serta kawasan di sepanjang Pantai Timur bagi menyokong pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ia secara langsung menggerakkan industri rel ke arah menjadi enjin baharu yang memperkasakan ekonomi negara.
Dalam menjayakan sektor rel moden, tenaga tempatan perlu diberi keutamaan daripada peringkat perancangan hingga penyelenggaraan.
Ini termasuk jurutera, juruteknik bertauliah melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta bakat profesional tempatan yang pernah berhijrah ke luar negara.
Justeru, inisiatif kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hadir tepat pada masanya.
Diperbadankan pada tahun 2016, RA Integration Links Sdn Bhd (RAILSB) merupakan sebuah firma kejuruteraan rel bersepadu adalah contoh kejayaan syarikat tempatan dalam memperkasakan kepakaran rel negara.
Syarikat ini kini terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tahap tiga, antaranya membabitkan 50 unit tren CRRC Zhuzhou bagi Laluan Ampang demi memanfaat ribuan pengguna harian laluan tersebut.
Lebih membanggakan, keseluruhan operasi dijalankan oleh 100 peratus tenaga kerja tempatan hasil pembangunan keupayaan TVET negara.
Selain itu, seramai 50 juruteknik tempatan telah digembleng oleh RAILSB, mencerminkan keberkesanan sistem TVET dalam melahirkan modal insan berkualiti.
RAILSB turut berjaya menarik kembali tenaga mahir muda untuk menyertai semula sektor teknikal berkemahiran tinggi dan menyokong cita-cita negara membina ekonomi berasaskan kepakaran tempatan.
Dalam usaha memperluas keupayaan teknikal, RAILSB menjalin kerjasama strategik bersama syarikat antarabangsa seperti CRRC Electric Traction Motor, Zhejiang King Air Conditioning Co Ltd dan Kangni Mechanical & Electrical Co Ltd yang masing-masing terlibat dalam penyediaan komponen utama seperti motor elektrik, sistem penyaman udara dan sistem pintu bagi tren LRV.
Usaha itu membolehkan RAILSB melibatkan diri dalam sektor komponen bernilai tambah tinggi seperti motor elektrik, sistem penyaman udara dan sistem pintu tren.
Sistem kereta api dan pengangkutan rel telah menjadi sebahagian daripada landskap Malaysia selama lebih 150 tahun.
Dalam tempoh ini, ia bukan sahaja menjadi nadi pengangkutan negara, malah berperanan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan, menyumbang kepada kestabilan sosial dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
RAILSB telah mengambil inisiatif melabur semula dalam pembangunan modal insan melalui program kelayakan mikro, latihan sambil bekerja dan pembelajaran berasaskan kerja.
Inisiatif tersebut membentuk ekosistem latihan yang responsif terhadap keperluan industri semasa, memastikan tenaga kerja rel negara kekal relevan dan berdaya saing.
Melangkah ke hadapan, RAILSB menyasarkan pencapaian lebih besar menghasilkan tren buatan Malaysia.
Langkah itu dijangka mengangkat imej negara sebagai hab industri rel serantau serta memperkukuh penguasaan teknologi dalam kalangan rakyat tempatan.
Masa depan industri rel Malaysia sedang dibina pada hari ini berteraskan bakat dan kepakaran anak tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!