Fahmi akan hubungi Meta, siasat misteri kehilangan hantaran Facebook Akmal Nasir

Fahmi.
Fahmi.
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan akan menghubungi pihak Meta Platforms Inc bagi mendapatkan penjelasan serta memulihkan semula hantaran Facebook milik Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang didakwa hilang secara misteri sejak Isnin lalu.

Beliau turut meminta syarikat yang mengendalikan platform Facebook, Instagram dan WhatsApp itu menyiasat dan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

“Saya baru sahaja berhubung dengan YB Akmal dan akan minta pihak Meta cuba kembalikan posting serta kenal pasti siapa yang telah lakukan perkara ini,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Terdahulu, Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan bahawa semua hantaran Facebook miliknya sejak akhir 2022 hilang secara tiba-tiba yang mana perkara tersebut disedarinya tiga hari lalu.

Menurutnya, perkara itu dikesan apabila hantaran berkaitan kempen pemilihan PKR 2025 lenyap beberapa jam lebih awal sebelum kesemua kandungan lain turut hilang menjelang petang hari sama.

“Kami telah menghubungi pihak Meta dan mereka mengesahkan insiden ini berpunca daripada unsur sabotaj oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan semula semua hantaran yang telah hilang,” katanya di platform X.

Dalam pada itu, Akmal tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah mengarahkan pasukan peguam untuk mempertimbangkan proses undang-undang termasuk tindakan saman terhadap mana-mana pihak atau individu terlibat sekiranya terdapat keterangan mencukupi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!