Nahas Air India: Kesemua 242 penumpang terkorban

NEW DELHI - Ketua Polis Ahmedabad memaklumkan kesemua 242 mangsa penumpang pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas pada Khamis terkorban.
"Nampaknya, tiada yang terselamat," ujarnya.
Difahamkan, pesawat itu membawa 10 kru kabin dan dua juruterbang bersama 169 warga India, Britain (53), Portugal (7) dan Kanada (1) serta kanak-kanak (11).
Rangkaian media melaporkan ia terhempas di sebuah asrama doktor dan meragut sejumlah nyawa pelajar perubatan di bandar berpopulasi padat di negeri Gujarat, India itu.
Susulan tragedi itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan ia bersedia untuk melancarkan pasukan siasatan yang diselaraskan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Terdahulu, Boeing memberitahu ia telah menerima laporan awal dan sedang mendapatkan maklumat terperinci tentang nahas itu manakala pengeluar enjin pesawat itu, GE Aerospace juga bakal menghantar pasukan ke India untuk menganalisis data kokpit.
Rakaman insiden itu menunjukkan penerbangan AI171 berlepas dari kawasan penempatan penduduk sebelum hilang dari skrin dan disusuli api menjulang tinggi secara tiba-tiba.
Perunding keselamatan aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), Anthony Brickhouse mendakwa salah satu tanda masalah yang dapat dilihat dengan jelas dari klip tersebut adalah gear pendaratan pesawat telah diturunkan sedangkan ia sepatutnya dinaikkan.
"Jika anda tidak tahu apa yang sedang berlaku, anda mungkin terfikir pesawat itu seperti sedang menghampiri landasan untuk mendarat," jelasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!