‘Jangan cuba-cuba bawa balik air zamzam’

MAKKAH – Jemaah haji diingatkan sekali lagi supaya tidak membawa pulang air zamzam dalam beg mereka sama ada yang dibawa masuk ke kabin atau daftar masuk ke bahagian bagasi.
Pengurus Pejabat Operasi Maktab, Abdul Fattah Mohd Fasor berkata, Kerajaan Arab Saudi memberi penekanan serius terhadap larangan untuk memasukkan air zamzam ke dalam bagasi.
Menurutnya, jemaah akan dibekalkan air zamzam oleh pihak Tabung haji (TH) setelah tiba di tanah air.
“Kalau kita lihat kes-kes sebelum ini Arab Saudi sangat-sangat memberikan penekanan berkenaan dengan air zamzam. Jadi kita nasihatkan jemaah jangan cuba-cuba untuk memasukkan air zamzam ke dalam bagasi.
“Memadailah dengan air zamzam yang dibekalkan (TH) setelah tiba di tanah air itu,” katanya ketika meninjau operasi ‘City Check In’ jemaah haji Malaysia di Abraj Al Janadriyah di sini.

Beliau berkata, jemaah juga diingatkan supaya tidak membawa barangan larangan dalam pesawat termasuk senjata tajam, objek tumpul yang berbahaya dan juga cecair melebihi 100 milimeter.
Katanya, bagi power bank pula kapasiti yang dibenarkan tidak melebihi 20,000 mAh dan ia mestilah bersama-sama dengan penumpang serta tidak boleh diletakkan di kompartmen atas kepala.
Tambahnya, setiap jemaah juga dihadkan membawa muatan bagasi tidak melebihi 30 kilogram seorang dan ‘grouping’ beg hanya untuk suami isteri.
“Jemaah dibenarkan mendaftar masuk dua bagasi dan kita nasihatkan mereka timbang dahulu di penimbang yang disediakan di setiap maktab.
“Sekiranya muatan berlebihan, mereka dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pos yang telah disediakan di setiap bangunan perkhidmatan jemaah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
