Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2305/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 ketika ditutup pada Rabu.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2305/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 ketika ditutup pada Rabu.
A
A
A

RINGGIT meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong oleh data ekonomi AS yang lemah dan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), kata penganalisis.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2305/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.47 peratus kepada 98.631 mata selepas data inflasi AS mencatatkan bacaan lebih rendah daripada jangkaan pasaran.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Mei direkodkan pada 2.4 peratus berbanding unjuran konsensus 2.5 peratus, manakala IHP teras mencatatkan 2.8 peratus berbanding 2.9 peratus dalam tinjauan pasaran.

"Perbendaharaan AS jangka pendek turut menyusut berikutan peningkatan harapan terhadap penurunan kadar faedah, dengan hasil bagi tempoh dua tahun berkurang tujuh mata asas kepada 3.95 peratus.

“Jangkaan terhadap penurunan kadar faedah akan menjadi tumpuan, memandangkan tempoh jawatan pengerusi semasa Fed akan berakhir pada Mei tahun depan, dan Presiden AS, Donald Trump dijangka melantik ketua Fed baharu yang selari dengan agenda beliau untuk melaksanakan pelonggaran dasar monetari seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya, DXY dijangka kekal di bawah paras 100 mata untuk suatu tempoh, sekali gus memberi manfaat kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Mohd Afzanizam turut menjangkakan ringgit diniagakan dalam aliran meningkat antara RM4.22 dan RM4.23 dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.9344/9415 daripada 2.9187/9207 semalam, rendah berbanding pound Britain kepada 5.7399/7535 daripada 5.7166/7200, dan berkurang berbanding euro kepada 4.8693/8808 daripada 4.8426/8454.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 260.1/260.8 daripada 260.4/260.6 semalam dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.57/7.59. Namun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2953/3033 daripada 3.2925/2947 dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.9949/13.0333 daripada 12.9729/9870 sebelum ini. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!