Warga Nepal berbasikal maut kemalangan

MUAR – Polis giat mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan seorang warga asing maut di Jalan Kampung Raja, Jorak, Bukit Pasir, di sini, pada malam Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 8.30 malam daripada orang awam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika penunggang basikal, yang merupakan warga Nepal berusia 53 tahun, dalam perjalanan dari Parit Lanjut ke Jalan Kampung Raja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti, dipercayai datang dari arah belakang, lalu menyebabkannya terjatuh.
“Akibatnya, penunggang basikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sehingga RM50,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
