Arif Aiman tak gentar saingi pemain warisan

BINTANG Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi tidak gentar dengan kehadiran ramai pemain warisan dan bersedia bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad negara.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia empat kali berturut-turut itu mengakui kehadiran wajah-wajah baharu dalam skuad kebangsaan banyak membantu pasukan, selain membuka ruang untuk dirinya memperbaiki prestasi.
“Kedatangan pemain baharu amat membantu pasukan kami dan saya akan terus bersaing untuk merebut tempat serta meletakkan diri saya dalam kesebelasan utama,” katanya.
Perlawanan menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan empat pemain warisan baharu, Facundo Tomas Garces, Jon Irazabal Iraurgui, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.
Perlawanan itu turut menyaksikan hanya Arif Aiman dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi, sebagai pemain tempatan yang beraksi, manakala selebihnya terdiri daripada pemain warisan.
Namun begitu, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tetap menyerlah apabila menjadi nadi utama dengan menyumbang dua bantuan gol dalam perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, Arif Aiman turut memuji persembahan rakan sepasukannya yang berjaya menundukkan Vietnam, meskipun sedar akan reputasi tinggi pasukan lawan.
“Alhamdulillah, walaupun tiada rezeki untuk saya menjaringkan gol, kami beraksi sebagai satu pasukan untuk menghasilkan jaringan dan bermain dengan baik.
“Kami juga berjaya mengawal perlawanan kerana kita tahu Vietnam merupakan antara pasukan yang cukup baik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
