Segerakan penguatkuasaan lebih tegas

INSIDEN penahanan seorang pemandu bas ekspres yang didapati positif morfin mencetuskan kebimbangan terutama selepas negara digemparkan dengan kemalangan yang meragut 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dua hari lalu.
Dalam Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak mendapati, bas yang membawa penumpang dalam perjalanan dari Lumut ke Kemaman dilihat mempertaruhkan keselamatan ratusan nyawa ekoran keadaan pemandu yang tidak 'selamat'.
Kes ini menyoroti risiko besar dihadapi penumpang apabila pemandu kenderaan awam berada di bawah pengaruh bahan terlarang yang boleh menjejaskan tumpuan, koordinasi dan masa reaksi mereka.
Selain itu, operasi berkenaan turut mendedahkan pelbagai kesalahan trafik lain termasuk cukai jalan tamat tempoh (33 kes), tiada lesen memandu (28 kes) dan tiada perlindungan insurans (28 kes).
Secara tidak langsung angka-angka ini menunjukkan terdapat sejumlah besar kenderaan yang beroperasi secara tidak sah di jalan raya, meningkatkan risiko kemalangan dan menyukarkan tuntutan insurans sekiranya berlaku insiden.
Justeru sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak lebih tegas dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan membanteras salah laku pemandu termasuk penguatkuasaan undang-undang lebih efisien.
Kerjasama antara agensi seperti JPJ dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu diperhebat untuk melaksanakan pemeriksaan air kencing secara rawak dan mengejut terhadap pemandu bas ekspres di depoh atau stesen bas utama.
Tindakan tersebut bukan sahaja perlu dilakukan semasa musim perayaan, malah secara berkala sepanjang tahun bagi memastikan syarikat pengendali dan pemandu bas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap nyawa penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Disamping itu, cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan penguatkuasaan mandatori terhadap pengehad kelajuan dan pemakaian tali pinggang keledar pada kenderaan berat perlu disegerakan.
Mewajibkan pemasangan kamera video pada kenderaan berat juga harus dipertimbangkan, malah menjadi keperluan mendesak ketika ini.
Diharap kerajaan dapat menyegerakan penguatkuasaan yang dicadangkan, sekali gus mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan menggunakan pengangkutan awam di masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
