83 kenderaan disita sepanjang Ops Khas Aidiladha

JOHOR BAHRU - Sebanyak 83 kenderaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam ops khas sempena Hari Raya Aidiladha yang dijalankan selama tujuh hari, berakhir Isnin.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 45,395 kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu yang menyasarkan pematuhan aspek keselamatan jalan raya.
Menurutnya, daripada jumlah sitaan, 66 melibatkan motosikal, sembilan buah kereta dan lapan kenderaan lain yang didapati tidak selamat atau tidak layak berada di atas jalan raya.
Tambah beliau, melalui analisis data-data Ops Khas berkenaan, JPJ Johor mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada pada skala rendah.
"Ini dapat diperhatikan di mana sebanyak 5,744 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi tersebut.
"Ia merangkumi kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 1,264 notis, Lesen Kenderaan Motor (LKM ) tamat tempoh sebanyak 1,163 notis dan tiada insurans sebanyak 1,021 notis.
"Selain itu, 169 pemandu atau tiga peratus dikesan dengan bersikap memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi iaitu pelanggaran kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, ujarnya kesalahan lain yang dikesan sepanjang operasi seperti memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keselamatan.
Justeru, Azmil menegaskan JPJ Johor akan terus melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang berdegil dan melanggar undang-undang jalan raya.
“JPJ Johor serius dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan kenderaan.
"Orang ramai diminta untuk membuat aduan berkaitan salah laku trafik melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau emel aduantrafik@jpj.gov.my," tegas beliau.
-end
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

