Komposer Adinda Amiro meninggal dunia, ‘Aduhai Seribu Kali Sayang’ tinggal kenangan

Adinda Amiro bukan hanya dikenali sebagai komposer, tetapi juga penulis puisi.
Adinda Amiro bukan hanya dikenali sebagai komposer, tetapi juga penulis puisi.
A
A
A

DUNIA seni tanah air kehilangan satu lagi permata apabila komposer dan penulis lirik prolifik, Adinda Amiro atau nama sebenarnya Saidin Omar disahkan meninggal dunia malam Isnin di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.

Berita pemergian seniman berusia 66 tahun itu dikongsikan Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd Majid yang turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Adinda Amiro (Saidin Omar) atas pemergian beliau ke rahmatullah,” tulisnya.

Adinda Amiro dikenali ramai menerusi karya-karya malar segar yang masih kekal dalam ingatan pencinta muzik Melayu hingga ke hari ini.

Antara lagu ciptaan dan lirik sentuhan beliau yang masih mekar dalam jiwa peminat termasuk Aduhai Seribu Kali Sayang dinyanyikan oleh Kumpulan Iklim, Bukan Aku Tak Cinta (Iklim), Permaidani (Aris Ariwatan), Bisa Semalam, Kau Bagai Cermin dan banyak lagi. lagi

Karya-karya tersebut bukan sekadar lagu, tetapi membawa roh puisi yang tinggi menjadikan Adinda Amiro sebagai antara penulis lirik yang berjaya mengangkat bahasa Melayu ke dalam bentuk paling seni dan menyentuh perasaan.

Tambah Ayob Abd Majid, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat dunia muzik dan budaya negara.

"Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi dunia muzik dan budaya Malaysia. Namun, legasi seni dan suara hatinya akan terus hidup dalam lagu-lagu yang ditinggalkan.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin, dan diberikan ganjaran atas segala sumbangan seninya yang menghidupkan jiwa-jiwa insan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beberapa rakan artis dan penggiat seni turut berkongsi rasa kehilangan, termasuk Budiman Mohd Zohdi yang memaklumkan Allahyarham baru sahaja terbabit dalam rakaman khas lagu sempena Aidiladha baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!