Keperluan pengubahsuaian belanjawan diputuskan kemudian: Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) ditemani Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir ketika tiba di bangunan Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) ditemani Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir ketika tiba di bangunan Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan yang baru dilantik Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan mengenai sama ada akan terdapat pengubahsuaian belanjawan pada tahun ini akan diputuskan kemudian.

Bercakap kepada pemberita semasa merakam waktu masuk untuk kali pertama sebagai menteri di Kompleks Perbendaharaan pada jam 6.07 petang di sini hari ini, katanya, beliau mahu diberi taklimat terlebih dahulu oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebelum membuat sebarang keputusan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

“Selepas taklimat, saya akan maklumkan kepada anda semua,” katanya sambil menambah taklimat itu akan turut membantu beliau untuk membuat keputusan mengenai langkah pertama yang perlu beliau ambil sebagai menteri kewangan.

Kejatuhan harga minyak global baru-baru ini dan impak daripada Covid-19 memberi kesan negatif kepada Bursa Malaysia, membawa kepada spekulasi bahawa Belanjawan 2020 mungkin perlu disesuaikan semula.

Tengku Zafrul mengadakan mesyuarat dengan Ahmad Badri, bersama pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, selama kira-kira dua jam sebelum beliau meninggalkan bangunan itu pada kira-kira jam 8.20 malam. - Bernama

Artikel Berkaitan: