Nahas pelajar UPSI: Jenazah Muhammad Adib disolatkan di Masjid Hadhari

JERTEH – Jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim selamat disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jerteh malam tadi.
Solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Masjid Hadhari, Mat Jaih Namat, dihadiri lebih 1,000 jemaah yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Amir, Besut untuk disemadikan.
Terdahulu, jenazah pelajar berkenaan tiba di masjid tersebut kira-kira jam 10.45 malam dengan diiringi ahli keluarga.
Muhammad Adib Hazim merupakan antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
