Selisih faham dengan isteri alasan lelaki pandu lawan arus

Tangkap layar insiden lelaki memandu secara berbahaya di di Jalan Skudai - Pantai Lido, Johor Bahru pada Sabtu.
Tangkap layar insiden lelaki memandu secara berbahaya di di Jalan Skudai - Pantai Lido, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki menjadikan alasan berselisih faham dengan isteri sebagai punca dirinya memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Jalan Skudai - Pantai Lido di sini, pada awal pagi Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 1.41 pagi Sabtu lalu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz, berwarna biru dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkenaan kejadian tersebut pada pukul 9.10 malam Sabtu lalu yang mana perbuatan tersebut turut dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lainn sebelum tular di media sosial.

"Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan tersebut telah membolehkan pihak polis mengesan identiti pemilik dan pemandu kenderaan tersebut.

"Polis kemudian mengarahkan pemandu tersebut hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pemilik kenderaan tersebut hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan sekitar jam 11.30 malam pada Ahad.

Hasil rakaman percakapan, pemandu SUV berkenaan mengaku memandu kenderaan tersebut secara melawan arus dengan memberikan alasan sedang berselisih faham dengan isterinya sehingga menyebabkan dirinya hilang fokus dan memandu kenderaan dengan memasuki laluan yang salah.

Ujian saringan air kencing mendapati pemandu tersebut bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpakha Bambo di talian 014-8861791 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!