Kerajaan Terengganu zahir dukacita, salur bantuan segera kepada waris mangsa - Exco

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri merakam takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, pada awal pagi Isnin.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas insiden menyayat hati itu.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa termasuk bantuan kebajikan, khidmat kaunseling dan sokongan psikososial.
"Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras urusan dengan pihak universiti, hospital dan Kerajaan Persekutuan agar bantuan dapat disalurkan dengan segera dan menyeluruh.
"Marilah kita sama-sama menadah tangan mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta orang yang soleh.
"Semoga mangsa yang cedera diberi kesembuhan segera dan keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa menghadapi saat sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, bas berkenaan dipercayai membawa pelajar dari Jertih ke UPSI sebelum terlibat dalam kemalangan membabitkan Perodua Alza.
"Maklumat awal menyatakan seramai 42 pelajar menaiki bas tersebut, manakala empat orang awam terlibat dalam kenderaan lain.
"Daripada jumlah itu, 15 orang disahkan meninggal dunia, termasuk 13 yang maut di lokasi kejadian dan dua lagi meninggal dunia di hospital," katanya.
Jelas beliau, difahamkan, majoriti pelajar dalam bas berkenaan merupakan anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
"Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri," ujarnya.
Terdahulu, nahas melibatkan bas ekspres yang membawa pelajar UPSI dikatakan terbabas sebelum melanggar sebuah kenderaan di laluan berbukit menuju ke Gerik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!