Kuasai pelbagai kemahiran sebagai pegawai bomba

Siti Farizun kongsi pengalaman 12 tahun dalam JBPM.
Siti Farizun kongsi pengalaman 12 tahun dalam JBPM.
A
A
A

KUANTAN - Berkhidmat di tiga unit berbeza sepanjang 12 tahun dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi kelebihan kepada Penguasa Kanan Bomba II, Siti Farizun Naim menguasai pelbagai kemahiran sebagai pegawai bomba kompeten.

Pada permulaan karier selepas menamatkan latihan pada 2013, anak kelahiran Perak itu ditempatkan di unit udara di Pangkalan Udara JBPM Wilayah Tengah Subang selama empat tahun sebagai Pegawai Perhubungan Awam.

Beliau turut memiliki kemahiran asas bagi memenuhi latihan yang ditetapkan di unit tersebut sebelum ditugaskan ke bahagian operasi.

“Bekerja dengan pesawat bukanlah sesuatu yang mudah kerana tugas itu memerlukan fokus sangat tinggi dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.

“Malah sebagai anggota bomba, saya juga perlu mahir mengendalikan pelbagai peralatan operasi termasuk bahan berbahaya.

“Sekarang saya berkhidmat di Bahagian Latihan Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. Tugas saya tertumpu kepada pengurusan dan menyelaras kursus-kursus yang ditetapkan jabatan,” kata pegawai berusia 33 tahun itu.

Siti Farizun juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah JBPM sebelum ini, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.

Berkongsi pengalaman operasi yang paling mencabar, beliau berkata, insiden pemadaman kebakaran sebuah rumah penjagaan warga emas di Selangor yang melibatkan beberapa nyawa terkorban pada 2017 masih segar dalam ingatannya.

Artikel Berkaitan:

“Api marak dan merebak hingga hampir keseluruhan bangunan menyebabkan hanya sebahagian penghuni sahaja yang dapat diselamatkan.

“Setelah api berjaya dipadamkan, kami terpaksa melihat satu keadaan yang amat tragis,” ujarnya.

Kata Siti Farizun, anggota bomba juga manusia biasa yang tidak boleh lari daripada masalah namun memegang prinsip berlapang dada dengan segala takdir dan bersikap selalu bersyukur.

Bagi mengekalkan tahap kecergasan pula, beliau aktif melakukan aktiviti mendaki yang turut melatih ketahanan mental, mengurus tekanan dan berfikiran positif walaupun dalam keadaan penat.

Siti Farizun turut menggalakkan golongan wanita muda untuk menyertai JBPM kerana tugas bomba lebih daripada sekadar memadam kebakaran.

“Jika ada minat dan kesungguhan, jangan takut untuk melangkah kerana yang penting sentiasa bersedia untuk belajar, kuatkan semangat dan jangan mudah berputus asa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!