Korban Perdana Parlimen Tenggara meriah, penuh keinsafan

BANDAR TENGGARA – Pejabat Ahli Parlimen Tenggara dengan kolaborasi strategik bersama Yayasan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menganjurkan Program Korban Perdana Parlimen Tenggara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Program yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib itu berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan, keharmonian dan keinsafan di Surau Ar-Rahman, Pinang Kuning, Bandar Tenggara.
Sebanyak 18 ekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut sebagai simbol pengorbanan dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Daging korban telah diagihkan kepada pelbagai golongan sasar termasuk warga emas, golongan asnaf dan kurang berkemampuan, anak-anak yatim serta agensi-agensi kerajaan di bawah Parlimen Tenggara.
Lebih daripada sekadar pelaksanaan ibadah, program itu turut menjadi wadah memperkasa budaya gotong-royong dan kerjasama komuniti.
Penduduk setempat bersama agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kelab Rukun Tetangga, Persatuan Veteran ATM, Rumah Anak Yatim Bandar Tenggara dan surau-surau sekitar turut berganding bahu dalam menjayakan setiap peringkat pelaksanaan daripada penyembelihan, penyediaan hingga ke pengagihan.
Semangat kebersamaan yang dizahirkan dalam program itu turut membina jaringan silaturahim yang erat serta memperkukuh nilai tolong-menolong dan kasih sayang yang menjadi teras masyarakat madani.
Melalui program tersebut, nilai pengorbanan disemarakkan bukan hanya melalui penyertaan korban, tetapi juga melalui tenaga dan masa yang dicurahkan oleh para sukarelawan serta penduduk setempat.
Dalam ucapannya, Manndzri menzahirkan harapan agar program seperti itu bukan sahaja menyuburkan semangat Aidiladha, malah menjadi medan terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat kejiranan.
“Semangat gotong-royong yang kita saksikan hari ini mencerminkan kekuatan jati diri masyarakat Tenggara.
"Ia bukan sahaja memperkukuh budaya kerjasama, malah memberi ruang untuk kita menyantuni mereka yang memerlukan dengan penuh hormat dan kasih sayang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa daging korban yang diagihkan bukan sekadar bantuan berbentuk fizikal, tetapi juga merupakan suntikan kegembiraan dan pengharapan kepada para penerima, terutamanya dalam kalangan mereka yang jarang berpeluang merasai kemeriahan sambutan Aidiladha dengan penuh kelengkapan.
Justeru, Manndzri menyatakan hasrat agar Program Korban Perdana itu diteruskan sebagai acara tahunan yang menjadi simbol perpaduan, keprihatinan dan kekuatan masyarakat Parlimen Tenggara dalam menjunjung nilai-nilai kemanusiaan dan ukhuwah Islamiah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

