Agenda besar Hishammuddin sebagai Menteri Luar Negeri

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar dengan sokongan semua pihak khususnya warga Kementerian Luar Negeri (MOFA).

Menurutnya, banyak lagi pencapaian serta peristiwa penting di MOFA khususnya membabitkan hal antarabangsa dan Malaysia akan dapat disaksikan bersama selepas ini.

"Paling utama, saya tiada agenda lebih besar selain akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman serta hubungan baik dengan pemimpin di luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keazaman itu, katanya, demi memperkukuhkan lagi hubungan antarabangsa Malaysia bukan sahaja dengan negara serantau tetapi di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin umum senarai Kabinet, lantik empat menteri kanan

"Menerusi pengamatan saya di laman sosial dan perbualan telefon dengan beberapa pihak semalam, saya faham bahawa harapan rakyat Malaysia ialah mahu negara kita kembali gemilang di mata dunia," katanya.

Justeru, beliau turut berjanji akan berusaha bagi melonjakkan nama baik negara sekali gus memastikan Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa.

"Saya sedar, banyak kerja perlu dilakukan untuk mencapai matlamat ini. Jadi, segala kerja ini akan dilaksanakan bersama warga MOFA bermula dari hari pertama saya di MOFA nanti. Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin antara 30 jemaah menteri baharu dilantik menerusi pembentukan kerajaan Perikatan Nasional selepas Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti ahli Dewan Rakyat dalam krisis politik berlaku sejak Februari lalu.