Isi minyak tak bayar, lelaki akhirnya ditahan

TAWAU - Tindakan seorang lelaki mengisi minyak tanpa membayar di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini membawa padah apabila dia berjaya dikesan dan ditahan polis di kawasan belakang sebuah premis, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi itu, suspek berusia 38 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan dilakukan susulan maklumat orang awam yang mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan bandar.
"Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan, terdapat seorang lelaki berada dalam kenderaan tersebut dan didapati kenderaan yang digunakan terbabit dalam satu laporan polis yang masih dalam siasatan berkaitan kes penipuan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, suspek kemudian ditahan manakala kenderaan yang digunakannya dirampas untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan lanjut, suspek terlibat dalam kejadian mengisi minyak kenderaan tanpa membuat sebarang bayaran di beberapa stesen minyak sekitar bandar Tawau sebelum bertindak meninggalkan premis terbabit.
"Perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha stesen minyak," katanya.
Jasmin berkata, ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah.
"Kes bagaimanapun masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) kerana menipu.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda," katanya.
Dalam pada itu, Jasmin turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini.
"Masyarakat diharap agar terus bekerjasama dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
