Wanita dan kekasih ditahan abai dua kanak-kanak

SUBANG JAYA – Seorang wanita bersama teman lelakinya yang dipercayai penagih dadah ditahan selepas disyaki mengabaikan dua kanak-kanak di Puchong pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung pengabaian dua kanak-kanak berkenaan di sebuah kediaman di Puchong.
"Hasil siasatan mendapati wanita berusia 37 tahun itu tinggal serumah bersama teman lelakinya berusia 42 tahun serta dua mangsa yang merupakan anak wanita terbabit masing-masing berumur empat dan 16 tahun.
"Saringan air kencing mendapati suspek wanita negatif dadah manakala teman lelakinya positif dadah dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan narkotik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, setakat ini lima saksi telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut berhubung kes ini.
"Kedua-dua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

