Keluar UMNO: Puad puji Zafrul, sindir Annuar Musa

SHAH ALAM – Keputusan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar parti disifatkan oleh seorang pemimpin UMNO sebagai lebih baik berbanding tindakan bekas Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Zafrul memilih untuk keluar parti secara terbuka, manakala Annuar pula memilih untuk kekal dalam UMNO tetapi didakwa mempunyai agenda tersendiri sebelum ini.
“Zafrul lagi baik daripada Annuar. Zafrul keluar parti. Annuar pula tidak mahu keluar.
“Annuar mahu jadi duri dalam daging. Dia mahu tikam UMNO dari dalam. Jadi ejen Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Annuar bahawa tindakan Zafrul keluar parti telah dirancang kepimpinan, apabila pemimpin itu berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak memarahinya selepas keluar parti.
Puad mempersoalkan kenyataan Annuar, mengapa perlu marah kepada bekas Ahli MKT UMNO tersebut.
“Seperti kata Zahid, ‘eloklah keluar kalau tiada kesetiaan dalam parti’. Akar umbi juga tidak marah. Akar umbi akan marah kalau dia tidak keluar atau dipecat.
“Samalah macam Annuar. Akar umbi akan marah jika dia tidak dipecat,” ujarnya lagi.
Beliau turut mendakwa pemecatan Annuar disambut baik oleh akar umbi parti.
Puad menambah, Annuar kemudiannya menyertai Pas selepas pemecatan tersebut, walaupun sebelum ini pernah mengkritik parti berkenaan.
“Annuar yang marah bila dipecat sampai masuk Pas. Jilat balik apa dia cerca pasal Pas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

