Wanita nyaris maut buat acuan gigi sendiri guna kit murah

Keadaan mulut Wu selepas tersilap langkah memasukkan 'plaster' ke acuan dan meletakkannya dalam mulut. Foto ifeng
Keadaan mulut Wu selepas tersilap langkah memasukkan 'plaster' ke acuan dan meletakkannya dalam mulut. Foto ifeng
A
A
A

BEIJING - Seorang wanita di China nyaris maut selepas cuba membuat acuan gigi sendiri menggunakan kit murah yang dibeli dalam talian.

Wanita berusia 24 tahun dari wilayah Fujian yang dikenali sebagai Wu itu dikejarkan ke hospital pada 18 Mei lalu selepas mulutnya hampir tertutup rapat akibat bahan yang digunakan mengeras.

Wu memberitahu doktor bahawa dia mahu membuat alat penahan gigi bagi mengekalkan kedudukan gigi, namun tidak mempunyai masa untuk berjumpa doktor gigi disebabkan komitmen kerja.

Justeru, wanita itu membeli kit acuan gigi dari kedai dalam talian yang turut disertakan arahan penggunaan termasuk langkah-langkah membuat acuan gigi.

Bagaimanapun, dia tersilap langkah apabila terus memasukkan 'plaster' ke dalam acuan dan meletakkannya ke dalam mulut, menyebabkan bahan tersebut mengeras.

Dia cuba mengeluarkannya sendiri tetapi gagal dan hampir sesak nafas sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berdekatan.

Sementara itu, Dr Liu Yiting dari Hospital Stomatologi Universiti Perubatan Fujian yang merawat wanita berkenaan berkata, semua gigi Wu telah dilitupi ‘plaster’ dan berisiko mencederakan tisu mulut jika tidak dibuang dengan berhati-hati.

Menurutnya, pihak hospital mengambil masa hampir sejam untuk mengikis ‘plaster’ itu sedikit demi sedikit.

Berikutan kejadian tersebut, doktor berkenaan menasihati orang ramai agar tidak cuba melakukan rawatan gigi sendiri di rumah tanpa pengawasan pakar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!