Hati-hati tawaran luar biasa ibadah haji

KES bakal jemaah haji Malaysia terkandas akibat ditipu ejen pelancongan sudah beberapa kali berlaku dan masih berlaku di negara ini.
Antara yang menarik perhatian ialah insiden pada tahun 2022 apabila kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan.
Terbaharu pada Rabu lalu, penyanyi Amir Ukays antara kira-kira 80 individu yang mendakwa terperdaya dengan tawaran menunaikan haji secara percuma menerusi tajaan seorang ‘dermawan’.
Di mana silap dan apa puncanya? Mengapa kes masih berlaku biarpun tindakan undang-undang telah diambil pihak berkuasa.
Sudah pasti apabila kes ini berlaku, ia akan menimbulkan rasa sedih dan kecewa bakal jemaah haji apabila harapan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tidak kesampaian.
Paling menyedihkan mereka yang menjadi mangsa ini adalah warga emas. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui mereka diperdaya dan ejen pelancongan pula memberi seribu satu helah.
Berdasarkan kes yang dilaporkan saban tahun, ramai yang mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang menjadikan pakej haji untuk mendapatkan keuntungan sehingga berlaku penipuan, atau mungkin kegagalan dari segi pengurusan sehingga menyebabkan bakal jemaah terkandas.
Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menubuhkan pasukan petugas khas yang mula beroperasi pada 30 Mei lalu dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pasukan ini akan menyelaras siasatan, pengurusan dokumentasi termasuklah menangkap individu atau pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan tawaran haji.
PDRM, MOTAC dan TH masing-masing mempunyai bidang kuasa dan perundangan tersendiri dalam menangani pelbagai bentuk kesalahan berkaitan penipuan haji. Segala tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada mengikut kesalahan yang dikenal pasti.
Walaupun sudah wujud pasukan khas, namun paling penting sebenarnya ialah kesedaran orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran luar biasa berkaitan perkhidmatan haji dan hanya berurusan dengan agensi yang sah serta diiktiraf pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
