Antara serangan peribadi dan kedaulatan institusi PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

INSTITUSI Perdana Menteri Malaysia terus menjadi tumpuan dalam perbahasan awam, terutama apabila persoalan integriti dan serangan peribadi terhadap penyandang jawatan menjadi sebahagian daripada landskap politik semasa.

Dalam era pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan sahaja berdepan cabaran dasar dan pentadbiran, malah turut diuji menerusi persepsi awam, serangan bermotif politik serta dakwaan bersifat peribadi.

Antara isu yang mencuri perhatian mutakhir ini ialah tuntutan sivil yang dikemukakan oleh Yusof Rawther, satu tindakan undang-undang yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik, penganalisis undang-undang, pengamal media dan masyarakat awam.

Walaupun kes ini masih dalam proses perundangan, kesannya kepada persepsi rakyat terhadap institusi tertinggi negara tidak boleh dipandang ringan.

Sesetengah pihak berpendapat tindakan ini walaupun sah dari sudut perundangan, berpotensi menggugat wibawa dan kredibiliti institusi Perdana Menteri terutama apabila isu peribadi dijadikan sebahagian daripada naratif politik yang lebih luas.

Dalam konteks demokrasi moden, amalan semak dan imbang tetap merupakan asas utama yang wajib dipertahankan. Namun demikian, garis pemisah antara prinsip akauntabiliti dan eksploitasi politik perlu ditentukan dengan jelas dan disemak dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, Anwar menafikan dakwaan bahawa beliau sedang mencari kekebalan undang-undang untuk melindungi diri, sebaliknya menegaskan bahawa langkah merujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan adalah demi mempertahankan integriti dan kedudukan institusi Perdana Menteri secara keseluruhan.

Beliau turut mengulangi komitmennya terhadap prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan yang saksama serta kebebasan badan kehakiman tanpa campur tangan politik.

Persoalan yang timbul kini ialah sama ada ruang dalam Perlembagaan Persekutuan mencukupi untuk melindungi institusi tertinggi negara daripada dimanipulasi sebagai alat persaingan politik yang tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Perlindungan terhadap fungsi institusi sememangnya sedia wujud tetapi aspek berkaitan reputasi dan persepsi masih sangat bergantung kepada keseimbangan komunikasi politik, kebijaksanaan pemimpin dan tahap kefahaman rakyat terhadap peranan institusi.

Beberapa negara demokrasi seperti United Kingdom dan Australia telah memperkenalkan kod etika serta sempadan komunikasi yang lebih ketat terhadap penjawat awam tertinggi iaitu langkah yang bertujuan mengekang serangan bermotif politik yang boleh melemahkan keupayaan institusi dalam menjalankan mandatnya.

Malaysia juga mungkin perlu memulakan perbincangan dasar ke arah pembentukan model serupa, dengan pendekatan yang mengekalkan kebebasan bersuara dan menjamin proses keadilan yang adil dan telus.

Dalam apa jua keadaan, adalah penting untuk masyarakat membezakan antara proses pengadilan yang sah dan dijamin undang-undang dengan tindakan bersifat menjatuhkan secara persepsi semata-mata.

Demokrasi yang matang bergantung kepada keupayaan negara mengekalkan kestabilan institusi sambil terus menjamin hak rakyat untuk menyuarakan pendapat dan mendapatkan keadilan tanpa halangan.

Akhirnya, menjaga kewibawaan institusi bukan bermaksud melindungi mana-mana individu daripada semakan awa tetapi memastikan agar institusi negara tidak menjadi mangsa kepada konflik politik jangka pendek yang bersifat destruktif.

Dalam iklim politik yang semakin kompleks dan dinamik, keseimbangan inilah wajar diberi keutamaan agar kepercayaan rakyat terhadap sistem kenegaraan terus dipelihara dan diperkukuhkan.

Anwar tak akan memegang jawatan ini selama-lamanya tetapi institusi Perdana Menteri harus dipertahankan demi kesinambungan Malaysia sebagai negara berdaulat dan stabil.

Serangan demi serangan terhadap institusi ini bukan sekadar melemahkan seorang individu, ia menggoncang asas negara. Rakyat perlu sedar jika institusi Perdana Menteri roboh, bukan sahaja pemimpin tumbang, negara juga akan runtuh.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!