Kedah ikut langkah Perak beraksi di pentas A1 Semi-Pro

SAINGAN Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 menerima kemasukan 12 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan, dengan sepak mula dijadualkan pada penghujung Julai dan berakhir pada Mei tahun depan.
Empat pasukan baharu dan lima pasukan sedia ada serta tiga pasukan 'feeder' dijangka memeriahkan saingan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, secara rasmi 12 pasukan yang berjaya menyertai saingan ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.
“Turut menyahut cabaran ialah Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA),” katanya selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL di Shah Alam, pada Khamis.
Beliau berkata, tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka turut serta dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
“Tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Seoul Phoenix FC (Korea Selatan) yang berpangkalan di Lembah Klang.
“Mereka diberikan tempoh 10 hari (6 hingga 15 Jun ini) untuk melengkapkan beberapa kriteria dan dokumen yang diperlukan,” katanya.
Mohd Yusoff menjelaskan bahawa perancangan asal adalah untuk mendapatkan sehingga 14 pasukan.
Namun katanya, jika semua atau sebahagian daripada kelab yang diberi kelulusan bersyarat berjaya memenuhi keperluan, jumlah pasukan akan ditambah.
“Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 pasukan yang sememangnya telah bersedia.
“Dalam senarai menunggu, terdapat dua pasukan (UM-Damansara FC dan Ipoh City FC) yang boleh dipertimbangkan sekiranya perlu melengkapkan bilangan pasukan.
“Mereka juga telah melalui proses yang sama sebelum ini, cuma kita dapati masih banyak lagi kriteria yang perlu dipenuhi,” ujarnya.
Pada musim lalu, Melaka FC dinobatkan sebagai juara, manakala Imigresen FC meraih tempat kedua, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan layak secara merit untuk beraksi di pentas Liga Super musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
