KRW FC hampir pasti beraksi di Liga A1

KELANTAN Red Warriors FC (KRW FC) hampir pasti akan beraksi di Liga A1 Semi-Pro musim depan.
Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hasan berkata, permohonan KRW untuk menyertai Liga A1 dibuat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Disember tahun lepas.

“Permohonan tersebut dalam proses penilaian dan apa yang boleh dikatakan, KRW FC akan dapat beraksi di Liga A1 pada Jun nanti.
“KRW FC kini menunggu keputusan yang akan diumumkan oleh FAM serta MFL selepas Liga A1 musim ini tamat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warriors - The Next Hero di Padang Sintetik, di sini, pada Jumaat.
Justeru, menurut Nik Hafiz Naim, tumpuan utama ketika ini ialah pembentukan pasukan dan pemilihan pemain yang akan diadakan selama sebulan bermula Jumaat hingga 23 Februari ini.
“Kami menerima 200 hingga 300 individu yang mendaftar secara dalam talian untuk menyertai pemilihan sebagai pemain KRW FC.

“Pemilihan akan dibuat bermula di Kota Bharu selama dua hari dan di daerah-daerah di negeri ini serta akhir sekali di Selangor,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memberi keyakinan bahawa pihak pengurusan pasukan terbabit mempunyai perancangan kewangan bagi memastikan pasukan KRW dapat beraksi dalam arena bola sepak.
“Kami ada pelabur yang sebelum ini sudah melabur bersama jutaan ringgit semasa bersama Kelantan The Red Warriors.
“Kami sedaya mampu menarik lebih ramai lagi pelabur untuk bersama KRW bagi memastikan kewangan kukuh untuk beraksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!