Brek tidak berfungsi dipercayai punca bas terbalik

Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, di sini, pada Khamis.
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, di sini, pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Brek tidak berfungsi dipercayai menjadi punca sebuah bas kilang hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kawasan Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.45 pagi.

“Siasatan polis mendapati pemandu bas, warga tempatan berusia 34 tahun, membawa 46 penumpang dalam perjalanan dari Putra Kajang menghala ke Kawasan Perindustrian Bangi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa pemandu hendak memberhentikan bas untuk menurunkan penumpang, dia mendapati brek kenderaannya tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Naazron berkata, situasi itu menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bas terbabas dan terbalik di selekoh di persimpangan jalan.

“Seorang penumpang didapati mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Serdang, manakala penumpang lain yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Klinik Kesihatan Bangi.

“Kesemua mangsa merupakan warga Nepal berusia 20 hingga 40 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria, di talian 012-3268496,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!