37 jemaah haji uzur tiada pengiring dibantu Peneman

Mohd Na'im (kiri) menyantuni seorang jemaah haji yang menyertai Program Peneman.
Mohd Na'im (kiri) menyantuni seorang jemaah haji yang menyertai Program Peneman.
A
A
A

MAKKAH – Demi memastikan semua jemaah dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, Tabung Haji (TH) meneruskan inisiatif Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman) bagi membantu mereka yang kurang berupaya, khususnya warga emas tanpa pengiring serta mereka yang sukar menguruskan diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tahun ini seramai 37 jemaah haji dibantu menerusi program kendalian Unit Perkhidmatan Kaunseling itu.

Menurutnya, seramai 38 petugas TH ditugaskan membantu jemaah berkenaan dalam pergerakan ke tandas dan sebagainya.

“Jemaah haji yang uzur atau sakit ini tiada pengiring atau waris yang mengiringi mereka dari tanah air.

“Petugas TH-lah yang membantu mereka sehingga selesai ibadah haji dan memastikan segala keperluan kebajikan termasuk fizikal dan rohani di Arafah akan dibantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Khemah Peneman di Arafah, di sini.

Mohd Na'im bergambar bersama petugas TH dan jemaah haji yang menyertai Program Peneman.
Mohd Na'im bergambar bersama petugas TH dan jemaah haji yang menyertai Program Peneman.

Mohd Na’im berkata, program Peneman berkenaan akan diteruskan pada tahun akan datang dan pihaknya berterima kasih kepada TH kerana dapat mengurus jemaah haji yang tidak berupaya dengan baik.

“Setiap jemaah haji ini akan dibantu oleh seorang petugas. Saya tahu bukan mudah bagi petugas menguruskan mereka kerana perlu ada kesabaran dan komitmen tinggi untuk membantu warga emas yang uzur ini.

“Program Peneman berkenaan mencerminkan kesungguhan dan komitmen TH untuk menyantuni setiap lapisan jemaah, tidak kira usia atau keupayaan, agar tidak ada yang tercicir dalam melaksanakan Rukun Islam kelima ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Program Peneman diwujudkan atas dasar prihatin terhadap keperluan segelintir jemaah dalam suasana mencabar di Arafah, Muzdalifah dan Mina (masyair).

Program berkenaan menyasarkan jemaah yang benar-benar memerlukan, dan saringan dilakukan berdasarkan kriteria melibatkan faktor usia, tahap kesihatan dan ketiadaan pengiring.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!