Tiada aduan besar, jemaah haji puji TH – Mohd Na’im

MAKKAH – Tiada sebarang aduan besar diterima pihak Lembaga Tabung Haji (TH) daripada jemaah sepanjang operasi haji 1446H/2025M setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, rata-rata jemaah memuji perkhidmatan TH dari bangunan penginapan sehinggalah bergerak ke Arafah pada Rabu.
“Setakat ini, tiada aduan besar diterima malah saya menerima maklum balas baik daripada jemaah haji.
“Rata-rata memuji operasi dan perkhidmatan Tabung Haji sejak menginap di hotel di Makkah sehinggalah berada di Arafah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di khemah jemaah haji di Arafah.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, berdasarkan pemerhatiannya, banyak penambahbaikan telah dibuat oleh syarikat Al-Masyariq Al-Masiyah yang menguruskan makanan dan penginapan jemaah haji Malaysia.
“Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas, saya lihat banyak penambahbaikan telah dilakukan,” katanya.
Terdahulu beliau berkata, jemaah haji dari tujuh bangunan penginapan di Makkah selamat tiba di Arafah pada Rabu untuk berwukuf.
Katanya, pergerakan pertama jemaah haji bermula jam 7.45 pagi dan kesemua mereka tiba di khemah penginapan di Arafah sebelum malam Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
