Suri rumah didenda RM2,000 curi barang keperluan di pasar raya

SEREMBAN – Seorang suri rumah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan keperluan di sebuah pasar raya pada April lalu.
Tertuduh, Siti Aishah Zulkifli, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri barangan keperluan milik sebuah pasar raya di Nilai pada 25 April 2025, kira-kira jam 3.53 petang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan selepas bertindak mencurigakan ketika tiba di kaunter pembayaran apabila hanya membayar sebahagian barangan yang diambil berjumlah RM18.45.
Wanita itu kemudian dilihat keluar dari premis berkenaan menuju ke kawasan parkir sebelum ditahan pengawal keselamatan yang memintanya menunjukkan resit pembayaran.
Hasil semakan pada penyata resit mendapati hanya sebahagian barangan telah dibayar dan tertuduh kemudiannya dibawa ke bilik kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurulain Anuar yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman minimum dikenakan memandangkan orang kena tuduh (OKT) menanggung empat anak berusia antara empat hingga 12 tahun serta ibu bapa di kampung.
“Mohon jumlah denda rendah diberikan kepada tertuduh kerana merupakan seorang suri rumah, tidak bekerja dan tidak menjana sebarang pendapatan.
“Saya dimaklumkan tertuduh perlu menjaga empat orang anak serta emak dan ayah di kampung. Ini kesalahan pertama OKT, mohon denda paling minimum dikenakan ke atasnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

