Covid-19: Sukma 2020 diteruskan ikut jadual

Hasni menyerahkan Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Pahang sempena Sukma 2020 kepada Wan Rosdy di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Hasni menyerahkan Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Pahang sempena Sukma 2020 kepada Wan Rosdy di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
A
A
A

PENULARAN wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini tidak menjejaskan jadual penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 Johor 2020 yang dijangka berlangsung Julai ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, setakat ini acara sukan itu akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan bermula 11 hingga 19 Julai ini.

Menurutnya, tiada keperluan atau sebab acara sukan berprestij itu ditangguhkan atau dianjak ke tarikh lain berikutan penularan wabak Covid-19.

"Setakat ini sama ada di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN) atau kerajaan negeri sebagai penganjur belum ada gambaran keperluan untuk penangguhan.

"Saya yakin selaku tuan rumah, langkah-langkah perlu akan diambil mengikut ketetapan pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani wabak ini demi keselamatan atlet dan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kunjungan Hormat dan Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Pahang sempena Sukma XX Johor 2020 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hasni berkata, sekiranya terdapat keperluan tarikh itu dianjak dan ia dipersetujui semua kontinjen negeri, Kerajaan Negeri Johor tiada masalah untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya kini sudah bersedia untuk menerima kunjungan kontinjen daripada seluruh negara untuk Sukma edisi ke-20.

Menurutnya, hampir semua venue-venue pertandingan telah berada dalam fasa akhir persiapan bagi temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Sebanyak 31 acara sukan akan dipertandingkan melibatkan 39 venue di tiga buah daerah utama iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

"Pada Sukma kali ini, kita memilih harimau sebagai maskot rasmi yang diberi nama Jimi membawa maksud aktif, ceria dan comel, namun tetap kompetitif di gelanggang," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang komited untuk menyertai acara itu dengan mengambil bahagian dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan.

Menurutnya, atlet Pahang juga sudah bersiap sedia untuk bersaing dengan sasaran membawa pulang lebih 20 pingat emas pada temasya itu.