Hentikan penjenamaan guna slogan pentadbiran elak bazir wang rakyat - Wan Saiful

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menghentikan amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif seperti projek Kota Madani di Putrajaya bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah yang lebih baik ialah sekiranya projek-projek kerajaan menggunakan penjenamaan yang lestari serta nama yang kekal tanpa berubah meskipun berlaku pertukaran pentadbiran.
Menurutnya, banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan turut diubah.
“Kerajaan perlu mencari nama lain bagi projek Kota Madani di Putrajaya. Sebelum ini kita melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa.
“Wang kerajaan bukan milik individu pemimpin. Ia milik rakyat, termasuklah yang tidak menyokong pemimpin itu. Maka apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, sebuah pembangunan strategik dikenali sebagai Kota Madani bakal direalisasikan di Putrajaya melibatkan keluasan 41 hektar, sekali gus menandakan satu langkah besar ke arah memperkukuhkan imej bandar itu sebagai model pembangunan mampan dan inklusif.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, projek berintensiti tinggi dan vertikal itu akan menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk serta menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih dan sistem mobiliti hijau.
Menurutnya, pembinaan Kota Madani selari dengan visi Bandar CHASE yang menekankan aspek keterangkuman, kemampanan dan teknologi.
Tambah Wan Saiful, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pemimpin hari ini serta yang akan datang diseru agar tidak terperangkap dalam sifat narsisis yang hanya merugikan kerana kos sebenar ditanggung rakyat.
“Saya tahu kerajaan akan guna skrip biasa mereka iaitu ‘perkara itu kerajaan dulu pun dah buat’.
“Sebagai jawapan awal, saya mahu katakan bahawa apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?” soalnya.n?" soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

