[VIDEO] Menjelang wukuf di Arafah, jemaah diminta jaga diri dan kesihatan

A
A
A

MAKKAH – Kurang 24 jam sebelum hari wukuf di Arafah, jemaah haji diingatkan supaya menjaga diri dan kesihatan bagi memastikan ibadah tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah juga dinasihatkan agar mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi seperti yang telah beberapa kali dimaklumkan sebelum ini.

“Nasihat saya adalah supaya jemaah menjaga diri dan kesihatan kerana haji tidak sempurna jika tidak wukuf di Arafah.

“Kita tidak mahu selepas beberapa hari berada di Madinah dan Makkah, namun kurang 24 jam sebelum wukuf di Arafah, kita tidak menjaga kesihatan dan akhirnya jatuh sakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Jemaah Haji dan Pelancaran Buku Panduan Ibadat Haji Versi Braille yang diadakan di Land Premium, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tabung Haji (TH) telah melancarkan buku panduan tersebut bagi memudahkan golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan memperoleh maklumat berkaitan ibadah haji iaitu Rukun Islam kelima.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara Tabung Haji dengan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Mohd Na'im ketika melancarkan Buku Panduan Ibadat Haji Versi Braille di Land Premium di sini.
Mohd Na'im ketika melancarkan Buku Panduan Ibadat Haji Versi Braille di Land Premium di sini.

“Saya berharap dengan kewujudan buku panduan ini, ia dapat memberi manfaat besar dan semangat kepada OKU penglihatan yang sudah menerima tawaran, mahupun yang belum, tetapi telah menanamkan hasrat untuk menunaikan haji.

“Bagi pihak TH, sekiranya sudah tiba giliran mereka dan mereka mempunyai kemampuan, kita tidak akan menolak untuk mereka dipanggil sebagai Dyufurrahman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, seramai 11 jemaah OKU penglihatan telah terpilih menunaikan haji ke Tanah Suci pada tahun ini.

Tambahnya lagi, petugas TH dan Sahabat Maktab sentiasa bersedia memastikan jemaah haji dalam kalangan OKU penglihatan serta golongan berkekurangan upaya lain diberi keutamaan untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna.

“Jika ada keperluan tambahan seperti peneman atau pengiring, mereka boleh maklumkan kepada petugas.

“Menjadi hasrat dan matlamat Tabung Haji untuk memastikan semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan tenang,” ujarnya.

Mohd Nai'im menyerahkan Buku Panduan Haji Versi Braille kepada Naimah selepas pelancaran buku berkenaan di Land Premium di sini
Mohd Nai'im menyerahkan Buku Panduan Haji Versi Braille kepada Naimah selepas pelancaran buku berkenaan di Land Premium di sini

Sementara itu, seorang jemaah OKU penglihatan, Naiman Mansor, 64, meluahkan rasa syukur atas inisiatif TH menyediakan buku panduan haji khas untuk golongan sepertinya.

Pesara guru Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Bukit Tunggal, Kuala Terengganu itu berkata, beliau mula hilang sepenuhnya deria penglihatan sejak dua tahun lalu.

“Ketika mata masih boleh melihat tetapi kabur, saya telah mula belajar kemahiran braille kerana sudah tidak dapat membaca al-Quran biasa dengan jelas.

“Bagi saya, buku panduan ini sangat berguna untuk OKU penglihatan dalam mendapatkan ilmu serta pengetahuan berkaitan ibadah haji,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!