Bukan sekadar latihan biasa Three Lions

Tuchel bertanya khabar dengan Cole Palmer. Foto: Agensi
Tuchel bertanya khabar dengan Cole Palmer. Foto: Agensi
A
A
A

SKUAD England mengambil langkah luar biasa dengan menjalani latihan dalam khemah khas bersuhu tinggi bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas yang dijangka sepanjang temasya bola sepak Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Pengendali The Three Lions, Thomas Tuchel, bersama barisan pemain kini berada di Girona, Sepanyol, untuk menjalani kem latihan intensif sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan serta perlawanan persahabatan antarabangsa.

England dijadual menentang Andorra dalam saingan kelayakan Piala Dunia, sebelum menentang Senegal dalam perlawanan persahabatan di City Ground, markas Nottingham Forest.

Sepanjang sesi kem latihan tersebut, Tuchel dan pegawai prestasi Persatuan Bolasepak England akan menilai sejauh mana keupayaan para pemain menyesuaikan diri dengan keadaan panas terik dan kelembapan tinggi yang dijangka di venue-venue kejohanan.

Pemain-pemain Three Lions akan menjalani ujian kecergasan dalam khemah berhaba tinggi dengan menggunakan basikal senaman, di mana suhu dalam khemah menyerupai keadaan sebenar yang bakal dihadapi semasa kejohanan.

Malah, poses pemulihan pemain selepas sesi tersebut juga akan dipantau secara lebih terperinci.

Tuchel minggu lalu menjelaskan bahawa beliau menjangkakan pemain- pemain akan berdepan kesukaran besar dalam keadaan cuaca yang mencabar di kejohanan tersebut, dan beliau sendiri akan melakukan tinjauan ke Amerika Syarikat semasa temasya Piala Kelab Dunia musim panas ini.

“Adalah penting untuk saya melihat sendiri perlawanan yang berlangsung di Amerika, khususnya di Miami pada jam tiga petang.

Saya mahu menilai sendiri bagaimana keadaannya – cara untuk menyejukkan pemain, kaedah pengambilan minuman dan segala pilihan yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Ya, kita perlu bersedia. Kejohanan ini berlangsung selepas musim liga, jadi keadaannya sangat mirip. Saya pernah jalani pramusim di Orlando, dan tidak akan terkejut jika kami benar-benar menderita. ‘Penderitaan’ mungkin tajuk utama Piala Dunia kali ini,” kata Tuchel.

Menurut laporan, suhu di 14 daripada 16 stadium yang disenaraikan sebagai venue kejohanan berpotensi mencapai paras membahayakan sepanjang kejohanan.

Di Dallas, salah satu bandar tuan rumah, lebih 80 peratus hari pada Jun dan Julai setiap tahun mencatat suhu melebihi 28 darjah Celsius.

Setakat ini, England telah memenangi dua perlawanan pertama dalam kempen kelayakan Piala Dunia di bawah kendalian Tuchel, dan kini mendahului Kumpulan K.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!