Isu Tengku Zafrul: Pemuda Pas Pahang jangan jadi batu ronson

Ahmad Saifullah
Ahmad Saifullah
A
A
A

KUANTAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota mengecam tindakan Pemuda Pas Pahang yang cuba mengaitkan penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), kononnya memalitkan imej Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Ketuanya, Ts Ahmad Saifullah Razali berkata, kenyataan pemimpin Pas itu didakwa tidak bertanggungjawab kerana perkara terbabit langsung tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri.

“Sebagai pemimpin muda, saya mengingatkan Pemuda Pas supaya tidak menjadi ‘batu ronson’ yang menyalakan api kebencian serta perpecahan rakyat.

“Rakyat sudah muak dengan politik tuding jari dan taasub fitnah yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tegasnya, isu Tengku Zafrul adalah urusan dalaman parti di peringkat pusat dan langsung tidak ada kaitan dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Pahang.

Menurutnya, cubaan mengheret kerajaan negeri dalam isu ini adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

"Penyertaan Tengku Zafrul adalah keputusan peribadi beliau dan tertakluk kepada proses yang ditetapkan oleh parti seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung PKR.

"Perkara ini langsung tidak memberi kesan kepada dasar, pendirian, atau keutamaan Keadilan di peringkat negeri, terutamanya di Pahang," katanya.

Sehubungan itu, AMK Indera Mahkota berpegang teguh kepada prinsip politik matang dan sejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Fokus kita seharusnya kekal kepada usaha membangunkan rakyat, mengangkat suara anak muda, dan memperkukuh kestabilan negara," ujarnya.

Pada Ahad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mendakwa tindakan Tengku Zafrul yang mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR dianggap sebagai petanda wujudnya ketidaksefahaman dalaman dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja menggemparkan politik nasional, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap kestabilan politik negeri Pahang, yang kini ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, laporan akhbar menyebut kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR turut dikaitkan dengan usaha penyusunan semula posisi dalam Kerajaan Perpaduan menjelang tamatnya tempoh pelantikan beliau sebagai senator Ogos ini.

Tengku Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sebelum ini dilantik sebagai senator dan calon BN di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15, namun tewas kepada calon PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!