MBDK cadang RM4 juta projek bersih Sungai Klang

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mencadangkan peruntukan RM4 juta bagi melaksanakan projek pembersihan Sungai Klang secara berfasa bermula tahun depan.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, projek pembersihan itu merangkumi penggunaan teknologi moden bagi menangani pencemaran air dan sisa terapung.
Menurutnya, antara pendekatan utama yang dirancang termasuk pemasangan jaring perangkap sampah di kawasan pesisir sungai, terutama sekitar kawasan paya bakau antara dua jambatan berhampiran Royal Selangor Yacht Club (RSYC).
"Jaring ini akan membantu memerangkap sampah terapung dengan lebih efektif, manakala mini log boom pula akan dipasang di longkang monsun konkrit.
"Ia direka untuk berfungsi mengikut aras air dan menahan sisa sebelum mengalir ke sungai utama," katanya ketika berucap pada Program Pembersihan Sungai di sekitar RSYC.
Abd Hamid memberitahu, projek itu turut menggunakan trash skimmer, teknologi pembersihan automatik permukaan air yang berfungsi secara harian bagi memastikan keadaan sungai kekal bersih dan terpelihara.
"Langkah ini selari dengan hasrat menjadikan Sungai Klang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, malah selamat dan lestari untuk jangka panjang," katanya.
Tambahnya, kos keseluruhan projek termasuk penyelenggaraan berkala selama beberapa bulan melebihi RM4 juta, namun peruntukan itu masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan Selangor.
“Komitmen ini membuktikan kesungguhan majlis dalam menjaga alam sekitar, terutamanya kawasan sensitif seperti pesisir sungai dan habitat paya bakau,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan RSYC bagi program pembersihan Sungai Klang, Abd Hamid menjelaskan, program itu signifikan berikutan ia terletak di muara Sungai Klang yang merupakan titik akhir sebelum airnya mengalir ke Selat Melaka.
"Segala pencemaran dan sampah dari hulu akan terkumpul di sini, menjadikan kawasan ini antara lokasi kritikal untuk tindakan pembersihan dan pemulihan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

