PM kunjungi reruai Karangkraf di PBAKL

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, kunjungan Perdana Menteri itu sama sekali tidak dijangka kerana dilakukan secara mengejut.
“Sebenarnya kita beruntung kerana PM melawat reruai Karangkraf. Antara banyak-banyak reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ini, beliau singgah di sini.
"Saya rasa antara sebab kita dipilih adalah reruai Karangkraf sangat ceria, dekorasi pun menarik dan yang paling penting disini ada buku legenda bola sepak negara, Datuk K Rajagobal. Beliau sememangnya tokoh yang dihormati serta disegani,” katanya kepada Sinar Harian.
PBAKL 2025 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula dari 23 Mei lalu hingga Ahad.
Pesta buku itu menerima hampir dua juta pengunjung.
Tambah Firdaus, Karangkraf sentiasa berusaha menghasilkan buku-buku berkualiti bagi memberi manfaat kepada para pembaca.
"Untuk PBAKL ini, kami memang target tinggi. Sebab itu kali kita bawa banyak tokoh besar antaranya ialah Rajagobal, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjumpa dengan peminat masing-masing di reruai.
"Selain itu buku untuk kanak-kanak pun kita ada jual termasuk komik baharu, tapi saya rasa yang paling banyak laris ialah buku-buku tokoh,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf turut mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang datang dari jauh semata-mata untuk membeli dan menyokong GBK.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca sama ada yang dekat mahupun datang dari jauh.
"Kami sangat hargai sokongan anda, tahun hadapan jangan lupa datang lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

