Supercargang Malaysia sumbang RM45,000 kepada keluarga anggota FRU terkorban

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kelab Supercargang Malaysia mengambil inisiatif menghulurkan bantuan sebanyak RM45,000 kepada keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Presidennya, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, kemalangan berlaku ketika trak FRU membawa konvoi anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas melaksanakan tugas di Teluk Intan amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Sama-sama kita mendoakan agar roh mangsa terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin dan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar.
"Kami juga mendoakan agar anggota cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, sumbangan terbabit diserahkan Mubarak kepada Superintendan S Suzana S Abdullah dari Pasukan Kebajikan Bukit Aman dalam satu majlis ringkas sempena ulang tahun keenam kelab itu.
Dalam kejadian pada 13 Mei itu, trak membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu kerikil hingga menyebabkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.
Sementara itu, wakil kelab, Datuk Nazir Husin Akhtar Husin memaklumkan, Supercargang Malaysia mengumpulkan sumbangan dalam kalangan ahli terdiri daripada pelbagai bangsa bagi meringankan beban ahli-ahli keluarga terlibat dalam nahas tersebut.
"Sasaran kami sebanyak RM5,000 untuk setiap sembilan keluarga terlibat, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM45,000," tambah beliau.
Menurutnya, sumbangan terbabit diharapkan meringankan bebanan mereka dan kelab terbabit akan bersama keluarga terlibat dalam menghadapi masa depan.
Kelab ditubuhkan pada 2019 itu aktif melakukan pelbagai aktiviti termasuklah mendirikan madrasah, sekolah tahfiz, membantu kelab-kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kelab kerajaan lain ketika berlaku bencana banjir serta Covid-19, selain berkonvoi.
Maklumat terkini tentang aktiviti kelab terbabit boleh diikuti melalui akaun Intagram rasmi mereka di @supercargangmy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

