Kesemua anggota FRU terima rawatan telah dibenarkan pulang

TELUK INTAN - Baki empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terima rawatan selepas terlibat dalam nahas membabitkan trak pasukan itu pada 13 Mei lalu, telah dibenarkan keluar dari hospital.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Sarjan Mazlan Mat, 50 dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39, dibenarkan pulang pada Jumaat selepas 18 hari menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Koperal Haslizal Mohd Ali, 44, dibenarkan pulang pada Khamis manakala Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dibenarkan pulang, Rabu lalu.
"Dengan perkembangan ini, kesemua sembilan anggota yang telah dirawat telah dibenarkan keluar. Mereka kini dalam tempoh cuti sakit untuk proses pemulihan," katanya di sini.
Terdahulu, lima anggota iaitu Koperal Nizam Tarmizi, 38: Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, dan Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44,telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Dalam kejadian itu, trak membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu kerikil di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik di sini.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Anggota yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abdul Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Pandak, 34, dan Koperal Amiruddin Zabri, 38.
Turut terkorban, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
