MPS tegas tolak tembakau dan vape, seru perlindungan kesihatan rakyat

Persatuan Farmasi Malaysia.
Persatuan Farmasi Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menegaskan semula komitmen pihaknya dalam melindungi kesihatan rakyat Malaysia melalui usaha berterusan dalam kawalan tembakau.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, sebagai rakan utama dalam usaha kawalan tembakau di peringkat nasional, MPS telah memainkan peranan penting dalam menjadikan ahli farmasi sebagai sekutu kesihatan awam yang utama dalam perjuangan menentang merokok dan penggunaan vape.

"Malaysia telah mendapat pengiktirafan yang ketara di peringkat antarabangsa apabila tiga individu iaitu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noraryana Hassan dan Pengerusi, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Profesor Madya Dr Murallitharan Munisamy menerima Anugerah Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pengiktirafan ini selari dengan pendekatan pelbagai pihak yang diambil Malaysia dalam memerangi penggunaan tembakau dan bahaya vape. Sumbangan kami merangkumi dasar, advokasi, penyampaian perkhidmatan dan mobilisasi akar umbi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Amrahi, antara sumbangan tersebut adalah melibatkan ahli farmasi sebagai barisan hadapan menerusi program mQuit.

Ujarnya, sejak penubuhan program mQuit, MPS telah bekerjasama rapat dengan KKM untuk melatih ahli farmasi dalam farmakoterapi berhenti merokok.

"Pada hari ini, ahli farmasi dilengkapi dengan kemahiran profesional dan ditempatkan di hospital awam, klinik kesihatan, serta farmasi komuniti swasta menyediakan kaunseling berhenti merokok berfokuskan individu, intervensi Terapi Pengganti Nikotin (NRT), dan sokongan tingkah laku.

"Inisiatif ini terus memberi perkhidmatan kepada ribuan rakyat Malaysia yang bersedia untuk berhenti merokok," katanya.

Menurutnya, selain itu, MPS tetap teguh dalam menyokong reformasi perundangan yang berani, termasuk peruntukan Generational End Game (GEG) untuk melindungi mereka yang lahir selepas tahun 2007 daripada cengkaman ketagihan tembakau dan vape.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kecaman terbuka secara konsisten terhadap pelobi industri tembakau dan vape, khususnya sebagai respons terhadap pengurangan ketegasan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau serta penyingkiran cecair nikotin daripada senarai racun.

"Desakan berterusan untuk mengembalikan perlindungan kawal selia, serta menyeru penguatkuasaan menyeluruh terhadap penjualan vape haram dan premis tidak berlesen.

"Kami tetap teguh dengan pendirian bahawa kesihatan mesti diutamakan melebihi keuntungan dan rangka kerja perundangan negara harus mencerminkan prinsip ini," katanya.

Menurut beliau, di luar bidang penjagaan kesihatan, MPS terus menggerakkan perbincangan mengenai kawalan tembakau di pelbagai platform kebangsaan dan forum antarabangsa.

Ujarnya, MPS diwakili dalam Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Jawatankuasa Perkhidmatan mQuit dan kekal aktif dalam ruang pembentukan dasar seperti Lembaga Racun, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta Lembaga Farmasi Malaysia.

"Kami turut memperkukuh penglibatan komuniti melalui kesedaran media, kempen di sekolah dan kerjasama antara profesional bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam usaha membina generasi sihat tanpa tembakau.

"Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025, kami memperbaharui komitmen kami untuk terus bersuara tanpa gentar atau pilih kasih, memperlengkapkan ahli farmasi dengan alat intervensi efektif dan bersatu bersama semua pejuang kesihatan awam merentasi profesion serta politik demi kesihatan negara kita.

"Kami meraikan hari ini bukan hanya untuk pencapaian yang telah diraih, tetapi juga untuk usaha yang masih menanti. Mengikut kata-kata WHO, 'kita perlukan makanan, bukan tembakau', MPS menyahut, kita perlukan kesihatan, bukan kemudaratan. Kita perlukan tindakan, bukan penangguhan'," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!