Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 semai minat cintakan bahasa

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyertaan lapan wakil agensi kerajaan dan organisasi media ke dalam Pesta Pantun Hari Wartawan Nasional-Dewan Bahasa dan Pustaka (HAWANA-DBP) 2025 bukan sekadar merebut hadiah lumayan, sebaliknya menjadi wadah menyemai minat cintakan bahasa serta seni warisan bangsa.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berpandangan penyertaan sulung Sinar Harian kali ini menunjukkan bahawa wakil mempunyai bakat dalam jual beli pantun.
Tambahnya, sambutan yang diterima juga dilihat luar biasa apabila lapan pasukan daripada pelbagai media sudi meluangkan hujung minggu dengan menyertai program berkenaan, malah kualiti pemantun juga sangat baik.
"Jadi, sekalung ucapan tahniah diberikan kepada Bernama di atas penganjuran pesta pantun sempena HAWANA 2025.
"Terima kasih juga kepada pemantun Sinar Harian walaupun tidak melepasi peringkat separuh akhir. Tetapi, bagi saya ini pengalaman dan langkah pertama untuk pasukan mencungkil bakat yang lama terpendam sejak di bangku sekolah atau zaman universiti lagi," katanya.
Sementara itu, wakil pasukan Sinar Harian, Haizir Othman berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya mencuba nasib berentap dengan nama-nama besar dalam industri media.
Beliau berkata, selaku penerbit Wacana Sinar, percubaan amatur itu cukup memuaskan hati dan memberi pengalaman baharu buat keempat-empat pemantun.
“Ini merupakan kali pertama Sinar Harian cuba sertai program sebegini meskipun jadual kerja kami terlalu padat dan tiada persediaan mencukupi.
“Kami hanya berlatih sekitar dua hari dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar meskipun tewas dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam pusingan kalah mati.
“Apa pun, kami rasa seronok juga dan insya-ALLAH jika ada rezeki mungkin boleh cuba lagi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang bertempat di Wisma Bernama, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, D R Arul Rajoo; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai serta Juru Pantun, Datuk Chuari Selamat.Sementara itu,
Johan pertandingan membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, tempat kedua RM2,000 manakala ketiga RM1,000 dan masing-masing turut membawa pulang piala dan sijil penyertaan.
Saguhati berbentuk hamper dan sijil penyertaan juga diberi kepada tempat keempat hingga kelapan.
Antara agensi media yang menyertai program berkenaan selain Sinar Harian ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, Jabatan Pengisian Islam TV3, Malaysia Gazette, Media Prima, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Astro Radio News.
Bertemakan ‘Melayu Klasik Tradisional’, Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 diadakan sempena HAWANA 2025 pada 13 hingga 15 Jun ini termasuk kemuncak sambutan pada 14 Jun yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesta pantun sulung tersebut dianjurkan oleh Bernama dengan kerjasama DBP dan penyampaian hadiah kepada johan serta naib johan akan berlangsung pada 14 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

