R&R Sementara Mempaga, Lebu dibuka hingga 15 Jun

Kakitangan MPB mengadakan gotong-royong membersihkan R&R Mempaga dan Lebu sebelum kemudahan itu dibuka kepada pengguna LTU bermula pada Sabtu hingga 15 Jun depan. - FOTO: FB MAJLIS PERBANDARAN BENTONG
Kakitangan MPB mengadakan gotong-royong membersihkan R&R Mempaga dan Lebu sebelum kemudahan itu dibuka kepada pengguna LTU bermula pada Sabtu hingga 15 Jun depan. - FOTO: FB MAJLIS PERBANDARAN BENTONG
A
A
A

BENTONG – Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sementara Mempaga (Laluan Raub ke Bentong) dan R&R Sementara Lebu (Laluan Bentong ke Raub) dibuka kepada pengguna Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bermula Sabtu hingga 15 Jun ini.

Majlis Perbandaran Bentong (MPB) memaklumkan bahawa pengguna LTU kini boleh menggunakan kemudahan yang disediakan demi keselesaan sepanjang perjalanan.

Menerusi notis yang dikongsi di laman Facebook rasmi, pihak berkuasa tempatan itu meminta pengguna agar menggunakan kemudahan tersebut dengan berhemah serta bersama-sama menjaga kebersihan.

Pembukaan R&R sementara itu dipercayai bagi memberi keselesaan kepada pengguna laluan yang dijangka meningkat sepanjang cuti sekolah dan menjelang cuti perayaan Aidiladha kali ini.

Kedua-dua R&R tersebut merupakan sebahagian daripada empat kemudahan hentian rehat dan rawat sementara yang dibina di sepanjang laluan LTU dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, dan telah mula dibuka kepada pengguna beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri pada Mei lalu.

Penyediaan R&R sementara ini susulan aduan yang diterima kerajaan negeri daripada pengguna yang mengalami kesukaran untuk mencari tempat berehat, menukar lampin bayi, dan menggunakan tandas sepanjang perjalanan ke Kelantan serta sempadan negeri ini.

Langkah ini juga diambil bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di beberapa lokasi sepanjang laluan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!