UMNO Terengganu korban 50 lembu sempena Aidiladha

Rozi Mamat
Rozi Mamat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu akan menganjurkan Majlis Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha membabitkan penyertaan seluruh bahagian dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, sebanyak 50 ekor lembu akan dikorbankan menerusi program tersebut yang dijadualkan berlangsung pada hari ketiga Aidiladha di Kampung Batu 23, Ajil Hulu Terengganu.

"Sebanyak 12 ekor lembu akan disembelih di lokasi utama di Ajil, manakala selebihnya diagihkan untuk pelaksanaan korban di setiap DUN, termasuk di rumah ketua bahagian serta pejabat DUN UMNO," katanya selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO Terengganu di sini.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan usaha parti bagi menyemarakkan sambutan Aidiladha, sekali gus meraikan rakyat.

"Majlis korban ini akan dilaksanakan melalui kerjasama bahagian dan DUN UMNO seluruh negeri. Kita buat setakat yang mampu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, UMNO Terengganu turut merancang menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri pada 19 Jun ini bertempat di Hotel Sumai, di sini.

Rozi berkata, seramai 1,300 pelajar yang memperoleh keputusan 8A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima penghargaan khas atas usaha dan kejayaan mereka.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Ketengah Holding untuk menjayakan majlis ini.

"Ia turut melibatkan penyampaian anugerah kepada sekolah dan pengetua cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program seumpama itu akan diperluaskan ke peringkat DUN bagi memberi pengiktirafan kepada lebih ramai pelajar cemerlang di seluruh negeri.

"Inisiatif ini bukan soal siapa yang lebih dahulu beri penghargaan, tetapi UMNO sejak dulu konsisten menghargai kecemerlangan anak-anak negeri dalam pelbagai bidang.

"Sebagai parti yang sentiasa dekat dengan rakyat, kita akan terus berusaha membantu mereka sebaik mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!