Kit Siang tak gentar tuduhan politik wang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan PH tidak gentar dengan dakwaan berlakunya politik wang di Cameron Highlands menerusi beberapa keping gambar ditularkan hari ini.

Menurutnya, PH tidak berasa gentar kerana tiada sebarang pembelian undi berlaku dalam kejadian tersebut.

Malah, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mempersoalkan adakah BN bersedia untuk mendedahkan perbelanjaan dikeluarkan bagi membawa orang ramai hadir ke hari pencalonan semalam.

“Adakah BN juga sedia berkongsi jumlah keseluruhan perbelanjaan terlibat serta menjawab semua pertanyaan mengenai perbelanjaan sepanjang tempoh PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Kit Siang, beliau menggesa semua parti politik dan calon bertanding untuk sama-sama menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara dengan mengemukakan perbelanjaan pilihan raya apabila diminta kelak.

“Ini adalah prinsip yang dipegang oleh jentera kempen PH dalam PRK Cameron Highlands dan saya harap BN akan berpegang pada pendirian yang sama.

“Saya menyeru semua pengundi Cameron Highlands agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan seperti amalan membeli undi dan kegiatan rasuah bagi menjadikan PRK kali ini sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kit Siang turut berkongsi maklumat wanita memakai baju PH yang berada dalam gambar tersebut.

Menurutnya, wanita itu dikenali sebagai Vanessa, berketurunan Dusun-Punjabi dari Kota Kinabalu dan menjadi sukarelawan Impian Malaysia sejak 2014.

“Beliau adalah graduan dalam bidang komunikasi yang melakukan kerja-kerja sukarelawan menerusi Impian Malaysia di seluruh negara.

“Beliau ditugaskan untuk menguruskan Orang Asli dari pelbagai kampung Orang Asli yang hadir menaiki motosikal pada hari penamaan calon di Tanah Rata, semalam.

“Terdapat 60 penunggang motosikal dan beliau membuat pembayaran balik sebanyak RM20 setiap seorang,” jelasnya.