Lelaki warga Pakistan maut digilis treler

KLUANG – Seorang lelaki warga Pakistan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan treler di Kilometer 55, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa, Sajjad Ali, 30, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Simpang Renggam menghala ke Johor Bahru.
“Siasatan awal mendapati treler jenis Renault yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa di lorong kiri jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan digilis sebelum diseret sejauh kira-kira 100 meter,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

