Satu tiket separuh akhir dalam tangan

Kai Wun (kiri) dan Wei Chong mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan China pada Khamis. Foto Bernama
Kai Wun (kiri) dan Wei Chong mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan China pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD badminton negara mengesahkan satu slot separuh akhir Terbuka Singapura 2025 dalam tangan apabila saingan suku akhir menyaksikan pertemuan sesama sendiri pada Jumaat.

Saingan itu bakal menjadi final ulangan yang menemukan juara Malaysia Masters, Man Wei Chong–Tee Kai Wun dan jagoan Terbuka Thailand, Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Bukit Jalil Ahad lalu.

Aaron–Wooi Yik mara ke kelompok lapan terbaik selepas menunaikan janji untuk membalas dendam terhadap Takuro Hoki–Yugo Kobayashi yang menewaskan mereka dalam saingan Piala Sudirman di China baru-baru ini.

Kejayaan ke suku akhir di Stadium Tertutup Singapura diraih selepas pasangan nombor tiga dunia itu mengalahkan gandingan Jepun dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.

Bagaimanapun kejayaan tersebut bukan diraih dengan mudah apabila Aaron–Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan ke atas Hoki–Yugo Kobayashi 21–18, 24–26, 21–12 dalam masa 63 minit.

Wei Chong–Kai Wun pula mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menundukkan beregu China, Huang Di–Liu Yang 21–16, 21–16.

"Berasa gembira sebab ini kali pertama kami masuk suku akhir di Singapura," ujar Wei Chong.

Sebagai rekod, Kai Wun–Wee Chong yang terkenal dengan julukan Man–Tee terkandas di pusingan kedua pada edisi 2023.

Bakal berdepan Aaron–Wooi Yik esok, Wei Chong mengakui sudah bersedia sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Memang kami harap dapat jumpa Aaron–Wooi Yik sebab satu beregu sudah tentu ke separuh akhir. Tidak kira siapa lawan di gelanggang, kami akan beri segalanya," kata Wei Chong.

Man–Tee muncul juara Malaysia Masters selepas menumpaskan Aaron–Wooi Yik 12–21, 21–15, 21–16 dalam masa 50 minit di Axiata Arena.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!